Wednesday, 3 August 2011

ダウト 2

Dauto Siri 2


“Dik Nobuo, bagaimana”
Isterinya merenung Shiozawa sambil memaklumkan tarikh berkabung dan pengebumian di telefon.
Nobuo ialah sepupu Shiozawa.
“Tak perlu beritahu”
“Tapi bukankan Dik Nobuo tu tak berhubung dengan orang lain selain dari kita”
“Dia tu dah besar. Tak perlu ber”adik-adik” lagi”.
“Dia muda setahun dari abang ya. Dik Nobuo dah 35”
“Dah tua tapi masih huhahuha. Sebab tu orang tak layan”
Huhahuha adalah kata-kata yang sering keluar dari mulut ayah yang baru saja meninggal.
Kalau di selusuri seluruh kaum kerabat, pasti ada seorang dua yang tidak boleh dibawa ke tengah dan Nobuolah orangnya. Dia tidak pernah mempunyai pekerjaan tetap.
Dengarnya Nobuo pernah masuk Universiti tapi sekerat jalan saja. Kemudian, setiap kali jumpa, alamat dan tempat kerja pun berubah-ubah.
Nobuo pernah bekerja sebagai pengurus sebuah produksi artis, tapi bila Shiozawa melihat album yang dihulurkan, yang ada cuma gambar artis berpakaian mandi yang tidak dikenali di dalamnya.
Bila Nobuo kata dia bekerja sebagai “Anya”, Shiozawa ingat dia mengusahakan kedai kuih tradisional Jepun, tapi sebenarnya dia mengilhamkan idea hadiah seperti yang tersiar dalam iklan di kaca TV
dan mendapat komisen dari penjualannya.
Setiap kali bertukar kerja, nampaknya setiap kali itu juga dia bertukar perempuan. Dengarnya dia pernah menjalani kehidupan seperti bapa ayam suatu ketika.
Shiozawa fikir Nobuo akan muncul dengan keadaan kurus kering dan cengkung, tapi tidak semena-mena dia menerima sekotak besar ketam tin bermutu tinggi sebagai hadiah hujung tahun dari Nobuo. Bila Shiozawa mengirim surat mengucapkan terima kasih, surat itu dipulangkan semula dengan alasan penerima tidak diketahui.
“Tapi ayah suka Nobuo”.
Kalau kau nak panggil, panggillah. Tapi, aku tak suka. Shiozawa menelan semula kata-kata itu lalu meleraikan ikatan kad tahun baru.
Nobuo popular di kalangan sanak saudaranya yang perempuan.
Dia tidak tampan tapi pandai mengambil hati. Mereka terhibur dengan gelagat Nobuo.
Shiozawa tahu sesuatu majlis akan lebih meriah jika Nobuo ada bersama. Golongan hawa akan lebih rancak berbual dan lebih riang.
Shiozawa tidak ingat bila. Pernah sekali ketika Nobuo berbual-bual dengan isterinya di ruang tamu, anak perempuan sulungnya pulang dari majlis perkahwinan kawannya. Dia sama seperti isteri Shiozawa, hemat dan berhati-hati orangnya. Dia akan menukar pakaian kepada pakaian basahan sebaik saja sampai di rumah untuk mengelakkannya dari kotor tapi tidak malam itu. Sepanjang kehadiran Nobuo, dia tetap berpakaian begitu, makan-makan dan minum-minum.
Bagi Shiozawa, tidak ada untungnya menunjukkan kebaikan  kepada lelaki seperti ini, tapi sedar-sedar bukan anak perempuannya saja yang begitu.
Sudah beberapa tahun berlalu tapi isterinya masih ingat Nobuo suka bahagian perut salmon masin,
“Dik Nobuo suka ikan bakar yang mentah sikit kan”.
Dari nada suara isterinya yang riang, Shiozawa tahu.
Bahagian perut ikan salmon juga kesukaan Shiozawa. Dia rasa terkilan bila merasakan isterinya memberikan yang terbaik kepada Nobuo.
Ditambah lagi dengan sikap isterinya yang mengia-iakan percakapan Nobuo sambil bermain-main dengan bekas teh.
Shiozawa juga nampak isterinya menyeka perlahan peluh di bahagian
hidung dengan perut jari bercerminkan bekas teh berwarna hitam berkilat.
“Abang ni, bila saya sebut dik Nobuo aja, mulalah buat muka semacam”.
“Bukan macam tu. Kalau berlaku perkara macam hari tu, tentu tak sukakan”.
“Hari tu….maksud abang masa majlis pengebumian hari tu”
“Aku tak mahu kecoh sesama saudara pasal duit”
“Tapi, tak ada orang nampak kan”
“Tak ada siapa yang buat benda macam tu selain dia”.
Pernah berlaku dua tahun lalu semasa majlis pengebumian wang sedekah kurang 50000 yen.
Sememangnya Nobuo ada keluar masuk ketika itu. Dari cerita Nobuo, poketnya tengah kembung tapi sebenarnya dia ada masalah kewangan. Dia mengelabui mata dengan gaharu murah yang berkotak cantik.
Ada desas desus mengatakan Nobuo cuba meminjam wang daripada seorang saudara yang dikatakan berduit tapi ditolak.
Sebagai ketua majlis pengebumian pada masa itu, Shiozawa berkeras hendak memeriksa barangan Nobuo tapi isteri dan saudara mara yang perempuan tidak setuju. Tak patut memalukan saudara sendiri di depan mayat.
Shiozawa gagal mengawal perasaannya. Shiozawa masih ingat. Dia menyindir Nobuo namun tidak sedikit pun raut wajah Nobuo  berubah. Nobuo mengumpulkan gadis remaja dan kanak-kanak. Dengan cekatan dia mempersembahkan “line dance” dengan jari-jemarinya yang runcing.
Shiozawa malu melihat hujung jari-jemari Nobuo berwarna kuning kesan tar rokok beraksi bagai kaki penari, naik dan turun.
“Kalau nak buat buat pun, tengoklah tempat”.
Shiozawa juga ingat kata-kata itu tinggal tersekat di kerongkong.

No comments:

Post a Comment