Thursday, 21 July 2011

マンハッタン 2

『マンハッタン』Manhattan-Siri 2



‘Orang macam abang ni dipanggil lemah semangat’
Acapkali isterinya Sugiko berkata begitu.
Nampaknya pencolek gigi yang diketapnya sudah tersentuh saraf gigi geraham. Sakitnya tak terperi.
Sepatutnya dia merawat gigi itu sebelum mereka berpisah. Mutsuo tidak mampu ketawa dengan sikap kedekutnya itu. Kerana itulah isterinya meninggalkannya.
Sugiko, seorang doktor gigi.
Cantik tapi terlalu mengikut logik.
Sugiko akan memesan sushi bila ada tetamu. Jika tidak habis, Sugiko hanya akan makan bahagian atas. Dahlah mahal, banyak khasiat, sayang kalau tak dimakan katanya. Logiknya begitulah tapi bila melihat baki nasi putih  sebanyak 7 atau 8 ketul di dalam bekas sushi berwarna hitam, Mutsuo rasa malu hingga merasakan wajah Sugiko yang dirasakannya begitu cantik ketika mula-mula tertarik padanya itu kelihatan hodoh.
Sugiko suka mengarah.
Bila Mutsuo hendak minum kopi tanpa gula, Sugiko pasti akan menyuruhnya memasukkan sesudu gula dengan alasan ia tidak elok untuk perut.
Mungkin sebab itulah agaknya dia bermimpi dinihari tadi.
Mutsuo berjalan di koridor.
Tempatnya kelihatan seolah-olah di dalam sebuah bangunan atau rumah. Mutsuo mengetuk pinta dan bila dia membukanya, di tengah-tengah bilik yang luas dan lapang itu dia nampak Sugiko sedang merawat giginya.  Sehelai kain yang menutupi bahagian leher hingga ke bawah badannya membuatkan dia kelihatan seperti sebuah khemah putih yand terpasang. Bila Mutsuo berfikir begitu, tiba-tiba Mutsuo bertukar tempat dengan Mutsuo yang sedang menerima rawatan.
Apa agaknya nama alat itu ya. Dari hujung mesin yang berbunyi ga..ga...ga...yang digunakan untuk menebuk lubang pada gigi, gula pasir memancut keluar. Gula pasir melimpah keluar dari mulut Mutsuo dan limpahan gula itu membentuk segi tiga yang besar dari leher hingga ke lantai seperti khemah.
Sakit. Manis. Mulutnya rasa letih.
Entah bila, Mutsuo bertukar tempat pula dengan Mutsuo yang sedang berdiri memerhati di koridor. Doktor yang merawat Mutsuo bukannya Sugiko, tapi Doktor Inada. Lebih kurang setahun yang lalu, lelaki inilah yang mengajak Sugiko yang ketika itu sedang berkhidmat di klinik biasa bekerja di klinik gigi miliknya sendiri, sebuah klinik gigi moden. Walaupun cuma pernah sekali bertemu dengan doktor ini sewaktu Sugiko memperkenalkan mereka, dia masih ingat leher doktor itu yang pendek dan berurat dan cincin emas yang dipakai pada jari kelengkengnya. Sekarang bila Mustsuo memikirkan semula sikap Sugiko yang kelihatannya begitu sopan terhadap Inada, barulah dia faham kenapa.
Gula pasir yang melimpahi bahagian bawah leher Mutsuo bertukar pula menjadi apron yang berkilau lalu membentuk sebuah piramid. Sakit...Sakit...dan Mutsuo pun terjaga dari mimpi. Bunyi yang sama kedengaran dari peti TV yang memaparkan garis berbelang hitam putih pada skrinnya.
 Mutsuo berjalan di bahu jalan.
Dia berjalan betul-betul di bahu jalan hinggakan hampir-hampir bergesel dengan tembok mortar. Bukannya penganggur tidak boleh berjalan di tengah jalan tapi Mutsuo mahu berbuat begitu.
Bila Mutsuo sudah memutuskan untuk membuat sesuatu perkara, dia akan rasa tidak selesa jika tidak meneruskannya beberapa waktu dan ini tidaklah termasuk mi goreng keras.
Selepas makan di Youraikan Mutsuo akan singgah di kedai buku dan membeli senaskhah majalah mingguan lalu pulang ke rumah melalui jalan yang sering dilaluinya. Sesampai di rumah, Mutsuo akan terus ke dapur dan memeriksa kekerasan roti Perancis yang disandarkan di dinding, lalu minum secawan air. Kemudian Mutsuo baring di atas sofa sambil membelek majalah dari muka akhir. Sebaik saja siaran berita bermula pada jam tujuh, Mutsuo akan mula minum bir dan memesan makanan dari kedai. Inilah rutin harian Mutsuo.
Tapi, tidak pada hari itu. Ada sebuah trak menghalang jalan yang sering dilaluinya.

No comments:

Post a Comment