Sunday, 24 July 2011

マンハッタン3

『マンハッタン』 Manhattan-Siri 3



Nampaknya ada sebuah kedai yang akan diubahsuai, dan trak itu tugasnya mengangkut kayu-kayu lama bangunan yang telah dirobohkan. Mutsuo tahu dia boleh menggunakan jalan lain. Jalan sempit yang penuh dengan habuk dan debu yang sering dilaluinya itu adalah jalan belakang dan selang satu lorong sahaja dengan jalan besar. Tapi, Mutsuo tetap melaluinya. Dia sudah memutuskan untuk melalui jalan itu, jadi dia tetap akan melaluinya walau apa jua halangannya. Tonggaknya akan patah jika berbuat demikian.
Mutsuo mengecilkan mata bagi mengelak dari dimasuki habuk. Baru Mutsuo ingat hingga semalam kedai itu adalah kedai menjual bergedel(コロッケ). Sepasang suami isteri yang sudah berusia mengurusnya dan sejak menduda Mutsuo pernah ke situ beberapa kali .
Tidak ada tanda-tanda yang kedai itu akan dirobohkan sebegitu dua tiga hari lalu. Kerja-kerja meroboh dan pegubahsuaian samalah seperti suami yang terlena. Bila terjaga, keadaan sudah banyak berubah.
‘Nak dirikan apa lepas ini. Buat kedai baru ke?
Tanya Mutsuo kepada lelaki yang mengarahkan kerja-kerja meroboh. Lelaki itu dengan diam mengetuk papan tanda yang mempamerkan lesen kerja. Kedai itu ‘MANHATTAN’ namanya.

‘Bila orang sedang bercakap, berilah perhatian’
Kata-kata Sugiko semakin pedas sejak mereka tinggal berasingan. Sugiko kelihatan 5 atau 6 tahun lebih muda bila mereka duduk bertentangan di kafe, Kata-katanya pedas tapi gaya cakapnya menggoda.
Riak wajah yang sepatutnya Sugiko pamerkan di hadapan lelaki baru terpancar seketika walaupun ketika berhadapan dengan suami yang bakal berpisah dengannya.
Mutsuo dengar kata-kata Sugiko.
Saya bukannya benci abang kerana syarikat abang bankrap, tapi saya tak tahan dengan sikap abang yang tak bersungguh-sungguh mencari kerja baru.
Ingatkan bila mak abang meninggal, kita boleh hidup bersama aman damai, tapi nampaknya kita tak sesuai.
Nasib baik kita tak ada anak.
Mutsuo dengar kesemuanya. Cuma, ada suara lain di telinganya.
‘Manhattan, Manhattan’.
Mulanya cumalah seperti pita rakaman yang berpusing perlahan tanpa henti.
Manhattan rupanya sebuah bar. Sebuah bar yang kecil, berpusat di kaunter, dan muat 12 , 13 orang.
Bangun pagi sahaja, Mutsuo akan menjenguk kemajuan kerja-kerja, tengah hari begitu juga dengan waktu petang. Jika tidak Mutsuo rasa serba tak kena. Mungkin kerana kos yang murah, dalam separuh hari, banyak yang berubah.
Mutsuo tidak tahu kenapa dia begitu berminat.
Puas Mutsuo memerah otak mencari jawapannya, namun tidak ada satu kenangan atau perkara pun yang ada bersangkut paut dengan nama ‘Manhattan’.
‘Manhattan, Manhattan’.
Seperti tikus putih memusingkan kincir angin sehari suntuk, perkataan itu berlegar-legar dalam kotak fikiran Mutsuo. Mungkin kerana bunyinya sedap didengar, Mutsuo tidak kisah, yang penting dia perlukan sesuatu dalam dirinya.
Ketika kincir berpusing, Mutsuo tidak perlu memikirkan syarikat yang bankrap, kata-kata Sugiko yang mengatakan dia lemah semangat dan pandangan sinis jiran-jiran di pangsapurinya terhadap lelaki yang ditinggalkan isteri.
Mutsuo memesan mi cina sejuk menggantikan mi goreng keras di Raiyouken.
Semenjak itu hampir setiap malam, Mutsuo dengan berpijama, mula tidur di katil. Ada kalanya tangannya meraba-raba sebelahnya bila terjaga waktu dinihari, tapi rasanya dia memeluk ‘Manhattan’ dalam mimpinya.
‘Dokumen dan barangan lain kita cerita kemudian,’ kata Sugiko sebelum bangun dari kerusi.
‘Tak jumpa kerja yang sesuai lagi kah’
Tanya Sugiko sambil mengambil resit. Mutsuo tidak kisah siapa yang bayar sebenarnya. Lebih kurang 1000 yen saja. ‘Manhattan’ akan dibuka 2 hari lagi.
Mutsuo menjenguk Manhattan dalam perjalanan pulang. Nampaknya mereka sedang sibuk menyiapkan dekorasi interior. Menurut pekerja yang sudah dikenalinya, malam ini mereka terpaksa bekerja hingga larut malam.
‘Macam tu biar saya hantar makanan’
‘Tak payah susah-susah. Mama akan sediakan’
Jawab pekerja yang menampal kertas dinding.
‘Ya kah. Kedai ni ada Mama ya’
Mutsuo ingin bertanya sama ada Mama cantik atau tidak tapi rasanya dia tidak perlu tergesa-gesa. Mutsuo akan berjumpa Mama pada hari pembukaan kedai nanti dan dia pun keluar dari kedai.
Semasa keluar tiba-tiba dia ditumbuk hingga menyebabkan dia terduduk mencangkung di atas jalan.
Rupa-rupanya pekerja yang sedang meletakkan papan tanda ‘MANHATTAN’
terjatuhkan satu alat kecil dan menimpa kepala Mutsuo.

No comments:

Post a Comment