Thursday, 21 July 2011

マンハッタン 1


『マンハッタン』MANHATTAN - Siri 1


Sejak ditinggalkan isteri, Mutsuo belajar banyak perkara.

Roti akan menjadi keras dalam tempoh tiga hari. Roti biasa akan berkulat dalam seminggu manakala roti Perancis akan menjadi sekeras belantan dalam sebulan.

Susu segar pula akan basi dalam masa seminggu walaupun disimpan di dalam peti sejuk.

Bila disebut peti sejuk, Mutsuo terjumpa satu bungkusan plastik berisi cecair hijau di satu sudut di ceruk peti sejuk. Seingatnya, dia tidak ada membeli aiskrim berwarna hijau. Puas dia memikirkannya, baru dia teringat itu adalah timun yang dimasukkan Sugiko, isterinya yang telah keluar rumah tiga bulan lalu.

Semasa di sekolah menengah, dia pernah belajar yang timun mengandungi 97 atau 98 peratus air. Patutlah. Sejak itu dia malas membuka peti sejuk.

Mutsuo yang terlelap di sofa ruang tamu ketika menonton tayangan larut malam terjaga dinihari oleh bunyi TV yang sudah tamat siaran. Jika tidur di katil, tangan dan badannya akan meraba-raba sebelahnya sebaik sahaja terjaga. Kerana itu dia tidak suka dan sudah menjadi kebiasaannya tidur di ruang tamu.

Sendi-sendi seluruh badan Mutsuo sengal bila tidur dalam keadaan begitu. Ketika membunyikan sendinya untuk menghilangkan sengal, kedengaran bunyi surat khabar dimasukkan secara kasar ke dalam peti surat pangsapuri. Sambil merokok, Mutsuo membaca akhbar dari ruangan iklan pangsapuri yang tidak mungkin akan dibelinya hinggalah ke ruangan tips memancing  seperti 5 teknik mengail hirame. Dia tidak akan membaca ruangan iklan mencari pekerja lelaki atau seumpamanya.

Mutsuo berbaring semula di atas sofa dan terlelap hingga hampir tengah hari. Tepat jam sebelas, dia bangun lalu membasuh muka. Di cermin yang kabur oleh percikan ubat gigi berwarna putih, terbayang wajah sembam lelaki berusia 38 tahun yang sedang menganggur. Masa bagai berhenti bergerak.

Mutsuo menunggu hingga jam sebelas setengah, kemudian menyarung sandal dan pergi ke Youraiken, sebuah kedai makan berhampiran lalu memesan mi goreng keras. Mi goreng keras susah dimakan kerana ia mencucuk lelangit. Susah dimakan tapi dia merasa nikmat kerana rasa dirinya terseksa. Sesekali dia bercadang memesan makanan yang lain, tapi bila duduk sahaja, mi goreng keraslah yang terkeluar dari mulutnya.

Sudah satu bulan dia mengulangi perkara yang sama.

Sekarang, cuma mi goreng keras Youraiken yang melawan balik Mutsuo.  Ketika makan mi goreng sahajalah Mutsuo rasa dirinya masih hidup, selain dari itu dia cumalah bangkai bernyawa.

Mutsuo tidak menghadapi masalah tempat tinggal kerana rumah peninggalan arwah ibunya ada, tapi dia perlu mencari kerja sementara wang pampasan akibat diberhentikan kerja masih ada. Walaupun begitu, tidak mungkin ada kerja sebaik yang dulu. Terlalu ramai orang yang boleh membuat kerja-kerja pejabat.

Sambil mengetap pencolek gigi, Mutsuo singgah sebentar di kedai buku, lalu membeli senaskhah majalah mingguan sebelum pulang .

Bayang-bayang Mutsuo yang panjang terbayang di cermin tingkap pameran. Bayang-bayang itu serupa dengan roti Perancis yang telah keras yang tersandar di dinding dapurnya.

No comments:

Post a Comment