Monday, 25 July 2011

マンハッタン 4

『マンハッタン』 Manhattan-Siri 4

Nasib baik Mutsuo cuma luka sedikit di bahagian tepi kepala. Kalau tidak, tentunya susah. Walaupun begitu cecair berwana merah mengalir dari celah jari tangan yang menekan luka tersebut. Mutsuo dibawa ke hospital berdekatan. Kepala Mutsuo discan dan sebagai langkah berjaga-jaga, dia dimasukkan ke wad untuk satu malam.   
Pegawai bertanggungjawab segera datang melawatnya.
Walaupun pegawai tersebut meminta maaf di atas kejadian yang berlaku, dia pulang selepas memastikan yang Mutsuo adalah orang luar yang datang menjenguk kedai dan ditimpa musibah semasa keluar dari kedai tersebut. Mungkin dia datang untuk melihat keadaannya  tapi Mutsuo tidak kisah itu semua. Mutsuo mahu bersendirian secepat mungkin.
Sejujurnya, dia rasa kecewa dengan kecederaannya. Alangkah baiknya kalau yang menimpanya itu penukul dan kepalanya pecah. Dia boleh mati bersama Manhattan.
Mama pasti akan datang. Mama ‘Manhattan’ akan datang menziarahinya. Tanpa di duga Mutsuo terlebih dahulu mengenali ‘Manhattan’ dan Mama berbanding pelanggan lain.
Tikus putih dalam diri Mutsuo memusingkan kincir lebih laju daripada biasa.
‘Manhattan’ ‘Manhattan’
Mama tidak secantik yang dijangka. Mama kelihatan seperti dua kali ganda lebih kecil daripada  OliveOil , teman wanita Popeye yang kaki dan tangannya halus seperti dawai berbadan kurus dan tinggi.
Usianya dalam lingkungan 30 an. Kulitnya agak gelap.
Mama meletakkan bakul berisi buah di atas meja di sebelah katil . Mutsuo rasa mama telah membelinya di sebuah pasarraya yang buka sehingga tengahmalam. Bakul itu kelihatan lebih gah dari isinya.. Mama tersenyum bila anak teman sebilik Mutsuo mengintai.
‘Anak ke?’
‘Isteri pun tak ada. Kalau ada anak susahlah’
Mama buat muka terkejut.
‘Bagaimana dengan hari pertama?’
‘Promosi berjalan lancar kan’
Tiba-tiba Mutsuo teringatkan perbualannya dengan ketua jabatannya semasa dia mashi bekerja di bahagian jualan.
‘Manhattan, Manhattan’
Semuanya berjalan seperti yang dirancang.
Malam itu di katil keras hospital, Mutsuo tidur lena buat pertama kalinya dalam tempoh tiga bulan.

Pada hari pembukaan ‘Manhattan’, Mutsuo mendapat layanan paling istimewa.
Ini semua kerana balutan di kepalanya. Mutsuo rasa kedai itu seperti kedainya sendiri.
Kedai baru itu penuh dengan kekurangan.
Bila mama kata dia terlupa pen untuk sain baucar, Mutsuo bergegas ke kedai alat tulis. Malam, bila lemon kehabisan, Mutsuo membangunkan tuan kedai buah dari tidurnya dan membeli lemon sebanyak yang boleh.
Setiap malam, Mutsuo ke situ.
Pada hari kelima, bila balutan di kepala ditanggalkan, Mutsuo rasa sedih, tapi dia masih bernasib baik kerana mendapat layanan lebih istimewa daripada pengunjung tetap yang lain.
Mutsuo pun sedaya upaya membalas layanan tersebut.
Bila mendengar Mama meminta maaf bila pengunjung tetap bernama Hatta iaitu lelaki dalam usia pertengahan mengadu ‘Kerusi ni boleh tahan, tapi sakit punggung’, Mutsuo berlari-lari anak pulang ke rumahnya untuk mengambil kusyen yang sesuai untuk didermakan pada mama.
‘Patutlah rasa lain macam. Dinding ni kosong’ Komen Hatta yang kelihatan peka terhadap sekeliling.
‘Maaf. Lukisan mahal sangat’
Mutsuo berlari-lari anak sekali lagi pulang ke rumahnya.
Dia mengambil litograf yang tergantung di ruang tamu dan membawanya ke Manhattan dan menggantungkannya di dinding Manhattan.
Mutsuo menukul paku pada dinding. Mama datang menyandarkan badannya pada belakang Mutsuo yang sedang mengatur tali bingkai bersesuaian dengan saranan Hatta.
Kalau begini, Olive Oil pun tak mengapa. Mutsuo menyukai Mama yang sama sepertinya, mudah sakit perut dan lemah semangat.
Perempuan ini tidak akan makan bahagian atas sushi sahaja dan memulangkannya seperti Sugiko.
Petang, Mutsuo akan keluar rumah menuju Manhattan sebelum matahari terbenam.
Mutsuo, yang kini sudah tidak lagi berjalan di bahu jalan, bayang-bayangnya panjang dan condong ke depan. Dia rasa sesuai benar roti Perancis yang condong bila dijalin dengan Olive Oil.
Sebulan setelah berulang alik, Mutsuo mula menceritakan perihal dirinya semasa bar lengang.
Mutsuo menceritakan kisah aibnya. Isterinya, doktor gigi lari ikut lelaki lain. Syarikat tempatnya bekerja gulung tikar. Dia tidak begitu tergesa-gesa mencari kerja lain kerana ada rumah peninggalan ibu dan lain-lain. Mutsuo berjaya mengajak Mama pergi ke rumahnya yang terletak selang dua lorong untuk mendengar rekod.
Mutsuo menunggu sehingga bar tutup tapi Hatta, si pengunjung tetap masih tetap tidak berganjak dari kerusi.
Mutsuo terpaksa pulang ke rumahnya. Terdengar bunyi pintu di ketuk.
Ketukannya perlahan seperti malu-malu. Mutsuo yang hanya berpakaian dalam kerana hendak mandi cuma menyahut, dan memakai seluar tergesa-gesa. Mutsuo menyepak masuk roti Perancis yang tersandar di tepi di dinding yang kononnya akan digunakan untuk menghalang pencuri ke dalam almari sebelum membuka pintu.
Sangkanya Mama yang datang, tapi tiada sesiapa pun di luar. Agaknya Mama naik takut. Tak apa. Masa akan menentukan segala-galanya. Sama-sama lemah semangat, kenalah bersabar.
‘Manhattan’ ‘Manhattan’
Koir yang dulunya begitu rancak, mungkin kerana sudah puas, sekarang sudah semakin reda.

No comments:

Post a Comment