Dauto-Siri 1
Shiozawa tidak boleh keluar dari bilik. Shiozawa tahu dia tidak boleh keluar meninggalkan pesakit sebelum penggantinya sampai.
Orang yang tidur berdengkur kuat di katil wad seorang itu ialah ayahnya yang baru saja meraikan ulang tahun yang ke 77. Ayah masih belum sedar sejak rebah diserang pendarahan dalam otak tiga hari lalu. Doktor baru saja memaklumkan yang harapan ayah untuk sembuh agak tipis kerana ini adalah serangan kali kedua. Ayah sudah berusia tapi jantungnya masih elok, jadi dari tengah malam ini hingga ke subuhlah tempoh penentu. Shiozawa terus ke hospital sebaik saja habis kerja untuk menggantikan isterinya yang pulang untuk membuat persiapan. Dengan lebih jelas, persiapan berkabung dan majlis pengebumian.
Shiozawa sudah pun menemukan ayah dengan orang-orang yang patut ditemui. Ayah degil orangnya, tapi sejak menduda perangai degilnya itu semakin menjadi-jadi. Serangan pertama menyebabkan badan ayah lumpuh, dan semenjak itu dia semakin memencilkan diri, tidak suka bergaul. Kesemua bunga juga buah tangan yang ada di bilik itu datangnya dari jawatan pegawai eksekutif yang disandang Shiozawa.
Warna di luar tingkap sudah bertukar kepada kelabu cair.
Akhirnya warna kelabu semakin memekat menjadi kelam.
Ayah bagai bertarung dengan masa yang merubah warna sekeliling kepada hitam.
Sebagai seorang anak, Shiozawa mesti menghadapinya. Shiozawa mesti berada di sisi ayah tapi dia tidak sanggup.
Dia tidak tahan bau itu.
Bau yang datang dari mulut ayah.
Walaupun ayah masih dalam keadaan koma tapi misainya nampak semakin panjang. Misai ayah yang menyerupai kayu api putih mengelilingi mulut ayah yang ternganga luas seperti engsel rosak itu sudah hilang seri dan terketar-ketar.
Bau itu bermula dari situ dan merebak ke seluruh bilik.
Kalau sekadar bau ibubapa, perasaan benci berbaur rindu dalam diri seseorang anak akan menyebabkan mereka bertahan kerana itulah petanda hubungan anak dan ibubapa, tapi bau ayah bukanlah seperti bau pesakit biasa tapi ia lain dari yang itu. Shiozawa rasa bau itu macam bau isi perut.
Ayah bolehlah dikatakan seorang yang lurus.
Ayah terus bergiat dalam bidang pendidikan walaupun telah bersara sebagai pengetua sekolah rendah. Ayah minum sake sekadar menjaga adat dan tidak pernah lebih dari itu.
Mak yang berbeza perangai dengan ayah pernah berkata,
“Mak rasa tak ada orang yang kolarnya tak berdaki macam ayah kau”
Pantang saja ada peluang, mak akan minum sedikit sake semasa makan malam.
Menurut emak, ayah memang tidak berlemak sejak zaman muda lagi tapi di sebalik kata-kata tersebut terbayang kekecewaan mak kepada ayah yang dingin nafsu.
Ayah memang kurus orangnya tapi di hari-hari terakhir hidupnya, dia cuma tinggal kulit dan rangka. Jika dibengkokkan pasti terdengar bunyinya patah. Kalau berselisih di koridor, rupa parasnya juga baunya tak ubah seperti sebatang rokok paip.
Dari bahagian manusia yang mana agaknya bau bangkai ini datang. Adakah seseorang itu tidak akan mati selagi tidak memuntahkan bau sebusuk ini.
Shiozawa rasa ayah akan lebih “cepat” dari ramalan doktor. Dia tidak boleh meninggalkan tempat itu. Di kalangan sanak saudara, Shiozawa dikenali sebagai seorang anak lelaki sulung yang berwibawa. Kerana itu juga dia tidak boleh berganjak dari sisi ayah.
Tapi, Shiozawa tidak tahan bau itu.
Semasa Shiozawa sampai tadi, isterinya pulang tergesa-gesa dengan alasan mahu mengemas rumah. Mungkin isterinya juga tidak tahan dengan bau ini.
Akhbar edisi petang sudah ada di kios hospital.
Pegawai sebuah syarikat tempat dia sering berurusan yang dikenalinya ditahan atas tuduhan rasuah dan berita tersebut dimuatkan di akhbar akhir-akhir ini. Dia mesti baca edisi petang.
Shiozawa tahu itu cumalah alasannya untuk keluar dari bilik itu.
Bila Shiozawa kembali semula ke bilik dengan tangan hitam berbau dakwat, dengkur ayah sudah tiada.
Shiozawa menekan loceng memanggil jururawat. Sambil itu dia memikirkan alasan yang akan diberikan kepada isteri dan sanak saudara kerana tiada di sisi ayah di saat ayah menghembuskan nafas terakhir. Ini bukan masanya untuk menangisi pemergian ayah.
Shiozawa menekan loceng sekuat hati bila dirasakan yang dia mencium bau busuk dirinya sendiri. Sambil menekan loceng Shiozawa perasan bau itu sudah tiada, seperti tidak pernah wujud.