Dauto Siri 4
Shiozawa sedar ada tunas hitam kecil dalam dirinya Bila
tiada orang melihat, dia akan melanggar had laju. Dia juga pernah menerima
rasuah bila dirasakan selamat. Malah bukan sekali dua dia bermain kayu tiga
semasa outstation.
Shiozawa tidak menyukai bahagian dirinya yang tidak
seperti tanggapan orang lain, namun sebagai manusia biasa, pastinya semua orang
ada melakukan perkara seperti ini katanya untuk memujuk dirinya.
Namun, ada satu peristiwa yang Shiozawa tidak mahu ingat.
Shiozawa sendiri tidak tahu dan tidak boleh menjelaskan
kenapa dia melakukannya tapi sedar-sedar, dia mendail nombor telefon rumah
rehat pengerusi syarikatnya.
Peristiwa yang berlaku di satu malam di musim panas tidak
disaksikan isteri dan anak-anaknya kerana mereka tiada di rumah.
Shiozawa menutup mulut dengan sapu tangan bila suara
parau pengerusi kedengaran di corong telefon di hujung sana. Dengan suara yang
dibuat-buat, Shiozawa membuat tuduhan palsu tentang Kujiraoka.
Kujiraoka mendirikan rumah dengan wang rasuah yang
diterimanya dari pengusaha……
Hubungan Kujiraoka dengan perempuan lain
Shiozawa bercakap seorang dan semasa meletakkan gagang
dia rasa ada orang di dalam rumah.
Nobuo sedang minum air di dapur.
“Masuk ikutlah pintu depan”.
Shiozawa tahu suaranya bergetar.
“Mana orang lain?”
Shiozawa rasa lega mendengar pertanyaan Nobuo. Tapi
memang Nobuo dengar.
“Bang, dengarnya Nobuo sedekah 50,000 yen”.
Terasa jauh suara isterinya.
Sambil berjaga malam di depan altar, Shiozawa cuba menyakiti
Nobuo.
Orang dari syarikatnya semua sudah beredar. Cuma
saudara-mara terdekat sahaja yang tinggal. Ini kerana tarikh yang dipilih dan
sudah masuk malam kedua, mungkin kerana keletihan, hampir semuanya sudah masuk
tidur. Mereka bertiga sahaja yang masih jaga. Shiozawa , Nobuo dan isteri Shiozawa
yang melayani mereka berdua.
Shiozawa minum sake untuk memberanikan diri.
“Aku rasa sedekah kau 50,000 yen tu banyak bagi kau. Atau
kau nak tebus sesuatu”.
Shiozawa merujuk kepada pencuri wang sedekah di majlis pengebumian
keluarga yang lalu. Nobuo menggaru-garu kepala.
“Saya banyak menyusahkan orang. Masa boleh balas, saya
balas”
Nobuo menuang sake untuk Shiozawa.
“Aku tak berkenan betul pada orang yang meminjam wang sikit-sikit
hari
Sabtu. Lepas tu kan hari ahad. Kalau sikit-sikit boleh
tipu. Kalau nak pinjam juga, pinjam banyak terus hari Isnin”.
“Satu lagi, kalau kau nak tunjuk muka, tunggu sampai kau
ada kad nama sendiri dulu”.
Shiozawa tidak ada jalan
lain selain membuatkan Nobuo melenting. Shiozawa mahu memastikan adakah Nobuo
ada mendengar suaranya malam itu.
Dalam permainan daun terup, ada satu yang dipanggil dauto.
Pemain dikehendaki mengeluarkan kad mengikut urutan
nombor dan jika ada pemain lain mengesyaki kesahihan kad tersebut, dia perlu
menyebut dauto
Jika tekaan itu betul, pemain tersebut akan menang, tapi jika salah, besar risikonya.
“Kau ingat kau tu bagus sangat ke. Sedar diri tu sikit”
Shiozawa rasa bebannya akan menjadi ringan jika Nobuo
membalas begini.
Jika Nobuo membuka mulut mengenai malam itu, Shiozawa
akan jatuh. Isterinya akan memandang serong terhadapnya, namun Shiozawa akan
berasa lebih tenang mengharungi hari-hari seterusnya daripada terus
tertanya-tanya.
Nobuo sentiasa mengelak, mabuk lalu terlena.
Ayah yang baru meninggal itulah yang mengajarnya
permainan dauto. Walaupun masih kecil, tekaan Shiozawa sering tepat.
Ayah yang keras sering terkena. Ayah selalu kalah kerana
menyebut dauto walaupun Shiozawa mengeluarkan kad yang betul.
Pernah pada suatu cuti musim panas tahun 2 atau 3 sekolah
rendah, Shiozawa terpaksa menunggu ayah selama sejam dalam gelap di stesen kereta
api Tachikawa.
Pada hari tersebut entah kenapa Ayah mengajaknya memancing
di Okutama.
Semasa pulang, pekerja stesen menahan mereka di pintu
keluar.
“Kau tunggu sini”
Perintah ayah dan Shiozawa duduk di bangku seorang diri.
Kakinya gatal digigit nyamuk.
Akhirnya Ayah keluar dari bilik ketua stesen setelah
bosan Shiozawa menunggu.
Ayah nampak lebih tua.
Shiozawa menuruti ayah yang tidak bercakap sepatah pun
keluar dari stesen. Ayah membelanjai Shiozawa makan nasi berlauk belut.
Shiozawa tahu ayah dituduh naik kereta api tanpa membayar
tambang yang sepatutnya. Shiozawa juga tahu dia mesti merahsiakan perkara ini
dari pengetahuan ibu dan adik-adiknya.
Tapi ayah syak. Ayah syak Shiozawa memberitahu mereka.
Sejak itu Shiozawa rasa ayah tidak semesra dulu dengannya.
Nobuo tidur menyandar pada altar.
Adakah lelaki ini memang tidak mendengar suara itu.
Atau dia sememangnya ada mendengar tapi buat-buat tidak tahu.
Mungkin juga inikah satu-satunya kelebihan lelaki ini, lelaki
yang tidak tentu hala ini, yang menjalani hidup dengan penuh penipuan ini?
“Dauto”
Sebutlah berapa kali pun, jika kad tidak diterbalikkan, Shiozawa
tidak akan tahu.
Shiozawa mengimbau kembali rupa ayah yang nampak kurus ketika
keluar keluar dari pintu di stesen pada malam itu.
Malam itu ayah yang terkenal baik orangnya juga ada
kelemahan. Begitu juga Shiozawa.
Bau yang ayah muntahkan sebelum meninggal adalah bau Shiozawa.
Mungkin juga lelaki ini mencium baunya sekarang.
Rasa takut dan rindu berbaur. Shiozawa mennyedut bau yang
hampir hilang dan menyalakan colok baru.